Jumaat, 12 Jun 2026

LEGASI RAJA LAUT DAN KUALA LUMPUR MODEN (1850–1913)

Salam buat semua. Hari ini Rabu, 11 Jun 2026. Atok duduk-duduk sahaja di rumah , tak ke mana- mana. Cucu Atok dari Cyberjaya ada bersama kami. Pengasuhnya tak sihat. Tak dapat menjaganya. Lagipun takut berjangkit. Maka Atok dan Wan ambil tanggungjawab tersebut. Atok tak kesah pasal Wan yang menjaganya. Atok cuma dapat tolong tengok-tengokan. Maklumlah dah hampir dalam kategori OKU. Pakai tongkat 4 kaki dan kerusi roda. Ke depan atau ke dapur sahaja. Nak jalan jauh kena tunggu anak bawa.

Dahulu masa muda-muda, Atok ligat.Jalan-jalan satu Klang, Banting dan pernah juga sampai ke Kuala Lumpur. Atok mula mengenali Kuala Lumpur jauh lebih awal daripada mengenali sejarahnya. Seingat Atok, sejak tahun 1976 lagi (darjah 6) Atok sudah beberapa kali sampai ke "Kolumpo". Masa itu, Kuala Lumpur bukanlah seperti hari ini. Bangunan tinggi belum memenuhi langit, jalan raya belum sesak seperti sekarang, dan perjalanan dari kampung ke ibu kota masih menjadi satu pengalaman yang mengujakan.

Bila turun di bandar, nama-nama yang selalu disebut ialah Bus Stand Klang, Chow Kit Road, Jalan Raja Alang, Jalan Raja Bot dan Jalan Raja Laut. Masa muda-muda dahulu, Atok tidak pernah terfikir pun siapa gerangan mereka yang namanya diabadikan pada jalan-jalan utama Kuala Lumpur itu. Yang Atok tahu, nama-nama itu kedengaran agak lucu dan menarik. Pada fikiran budak kampung waktu itu, "ada Bot, mestilah ada Laut." Bila nampak Jalan Raja Alang pula, terlintas dalam hati, siapalah Raja Alang ini? Namun semuanya sekadar nama yang dilihat pada papan tanda jalan.

Dah alang-alang sampai ke Kuala Lumpur, Atok pun naik bas mini ke Jalan Kuching untuk menumpang di Flat PKNS, rumah ibu saudara Atok yang bertugas sebagai guru di Kolumpo. Masa cuti sekolah panjang, Atok lepak dua tiga hari di sana sebelum pulang semula ke Telok. Naik bas sajalah, takkan pula naik limosin! Zaman itu, dapat naik bas ke Kuala Lumpur pun sudah cukup membanggakan bagi budak kampung.

Kini apabila usia semakin lanjut, barulah timbul rasa ingin tahu. Siapakah sebenarnya Raja Alang, Raja Bot dan Raja Laut yang namanya terpahat pada jalan-jalan utama ibu kota? Mengapa mereka diberi penghormatan sedemikian besar? Setelah meneliti pelbagai dokumen arkib, akhbar lama dan rekod sejarah, Atok mula memahami bahawa penghormatan itu bukanlah diberikan secara kebetulan. Mereka merupakan antara tokoh Melayu yang memainkan peranan penting dalam membangunkan Kuala Lumpur pada zaman awalnya, ketika bandar ini masih bergelut keluar daripada kemusnahan perang, wabak penyakit dan pelbagai cabaran pembangunan.

Menelusuri kisah mereka juga membuatkan Atok melihat satu persamaan yang tidak pernah berubah antara orang dahulu dan orang sekarang. Dari dahulu sampai sekarang, orang kampung datang ke Kuala Lumpur bukan semata-mata mencari hiburan atau keseronokan hidup bandar. Mereka datang mencari peluang. Mereka datang membawa harapan untuk mengubah nasib diri dan keluarga. Mereka datang dengan impian untuk berjaya, memperoleh ilmu dan pengalaman, kemudian kembali ke kampung untuk menunjukkan peningkatan diri serta membantu memajukan masyarakat tempat asal mereka.

Harapan itu masih sama sehingga hari ini. Orang tua-tua di kampung sentiasa berharap anak-anak yang berhijrah ke kota akan berjaya, menjadi insan berguna, membela keluarga dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Mereka tidak mahu melihat anak-anak hanyut dalam gejala sosial, menjadi beban masyarakat atau gagal memanfaatkan peluang yang ada.

Sebenarnya semangat inilah yang turut menjadi asas perjuangan ramai pembesar Melayu dan sultan pada abad ke-19. Mereka memahami bahawa kemajuan umat tidak akan tercapai tanpa pendidikan, pentadbiran yang baik, peluang ekonomi dan pembangunan bandar. Sebab itulah mereka berusaha membangunkan Kuala Lumpur, membuka sekolah, mewujudkan peluang pekerjaan, mempertahankan tanah orang Melayu dan membina asas sebuah masyarakat yang lebih maju. Walaupun secara zahirnya ada antara mereka yang terpaksa bekerjasama dengan pentadbiran kolonial British, namun tidak semestinya mereka menggadaikan cita-cita bangsa. Setiap zaman mempunyai cabaran dan pendekatan perjuangannya yang tersendiri.

Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Niat yang baik akan melahirkan akhlak yang baik. Niat yang suci akan membentuk keperibadian yang mulia dan menghasilkan manfaat kepada masyarakat. Dalam menilai tokoh-tokoh terdahulu, kita bukan sahaja melihat apa yang mereka lakukan, tetapi juga memahami tujuan dan cita-cita yang mendorong tindakan mereka.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Raja Laut, Raja Bot, Raja Alang serta seluruh pembesar dan pemimpin terdahulu yang telah berusaha membangunkan bangsa dan negeri menurut kemampuan dan kefahaman zaman mereka. Semoga mereka ditempatkan bersama hamba-hamba-Nya yang soleh dan menerima ganjaran atas segala kebaikan yang telah ditinggalkan untuk generasi kemudian.

Al-Fatihah. Aamiin Ya Rabbal 'Alamin.


Asal-Usul dan Latar Keluarga Diraja (1850–1867)

Raja Laut ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah dilahirkan pada tahun 1850 di Kuala Selangor. Baginda merupakan putera kepada Sultan Muhammad Shah, Sultan Selangor ketiga yang memerintah dari tahun 1826 hingga 1857. Bondanya ialah Raja Asiah binti Sultan Ali Alauddin Shah daripada keluarga diraja Riau-Lingga, menjadikan Raja Laut mewarisi pertalian yang erat dengan dunia Melayu-Bugis yang menjadi asas pembentukan Kesultanan Selangor.

Dari sudut salasilah, Raja Laut merupakan generasi keempat dalam susur galur Kesultanan Selangor yang diasaskan oleh Sultan Salehuddin Shah atau Raja Lumu. Susur keturunan baginda ialah Sultan Salehuddin Shah, diikuti Sultan Ibrahim Shah, kemudian Sultan Muhammad Shah, dan seterusnya Raja Laut sendiri.

Hubungan kekeluargaan Raja Laut sangat luas dalam lingkungan keluarga diraja Selangor. Baginda merupakan sepupu serta abang ipar kepada Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor keempat. Baginda juga merupakan nenda saudara kepada Sultan Alauddin Sulaiman Shah yang kelak menaiki takhta sebagai Sultan Selangor kelima. Sejak kecil, Raja Laut dibesarkan dalam lingkungan keluarga diraja yang berpengaruh. Baginda turut mempunyai hubungan rapat dengan Lukut melalui Raja Jumaat, pembesar terkenal yang menguasai kawasan perlombongan bijih timah di wilayah tersebut. 

Semasa kecil, Raja Laut dijadikan anak angkat kepada Raja Jumaat, pemerintah Lukut yang terkenal, sekali gus menjadikan baginda saudara angkat kepada Raja Bot yang kemudiannya muncul sebagai antara pembesar Melayu paling berpengaruh di Selangor. Hubungan ini membolehkan Raja Laut terdedah kepada dunia pentadbiran, perdagangan dan diplomasi sejak usia muda.

Menurut tradisi lisan yang diwarisi dalam kalangan kerabat Selangor, gelaran "Laut" diberikan kerana baginda dikatakan dilahirkan ketika bondanya berada di atas sebuah perahu di perairan sekitar Lukut. Walaupun sukar dipastikan secara dokumentari, kisah ini terus menjadi sebahagian daripada identiti sejarah baginda. Nama tersebut kemudiannya kekal digunakan sebagai nama rasmi baginda sepanjang hayat.

Dalam kehidupan berkeluarga, Raja Laut berkahwin dengan Raja Daing Chahaya. Antara anak-anak baginda yang direkodkan dalam sumber sejarah ialah Raja Husin, Raja Ngah dan Raja Alang. Raja Alang merupakan anak lelaki yang paling banyak muncul dalam rekod kolonial dan kemudiannya dikenali sebagai seorang Political Pensioner di bawah pentadbiran British.
Raja Laut ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah 

Pendidikan dan Pembentukan Intelektual Raja Laut

Walaupun Raja Laut tidak pernah menerima pendidikan formal di sekolah berorientasikan Barat atau Inggeris, hal tersebut tidak menghalang baginda daripada muncul sebagai salah seorang pembesar Melayu yang paling berpengaruh dalam sejarah awal Kuala Lumpur. Ketika baginda membesar sekitar tahun 1850-an hingga 1860-an, sistem pendidikan vernakular Inggeris masih belum berkembang di Selangor. Oleh itu, pembentukan ilmu dan keperibadian baginda berlaku melalui beberapa saluran pendidikan tradisional dan pengalaman hidup yang luar biasa.

Sejak kecil, Raja Laut dibesarkan dalam lingkungan istana Selangor yang menitikberatkan pendidikan tradisional Melayu-Islam. Melalui sistem keistanaan ini, baginda mempelajari ilmu agama Islam, bacaan dan penulisan Jawi, kesusasteraan Melayu, adat istiadat diraja, serta nilai kepimpinan yang menjadi asas kepada pembentukan seorang kerabat pemerintah. Pendidikan seperti ini bukan sahaja bertujuan melahirkan individu yang berilmu, tetapi juga membentuk kehalusan budi, kebijaksanaan dalam membuat keputusan, dan kefahaman mendalam terhadap adat pemerintahan Melayu.

Pembentukan intelektual Raja Laut turut diperkaya apabila baginda diasuh dalam lingkungan keluarga Raja Jumaat di Lukut. Sebagai tokoh yang terkenal kerana kebijaksanaan pentadbiran dan kejayaan mengurus ekonomi perlombongan, Raja Jumaat menyediakan satu persekitaran pembelajaran yang amat berbeza daripada pendidikan istana tradisional. Di Lukut, Raja Laut berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana sebuah pusat ekonomi moden diuruskan, termasuk pentadbiran hasil, pengurusan tenaga kerja, hubungan perdagangan, dan interaksi dengan pedagang serta pegawai Eropah. Pengalaman ini menjadikan Lukut sebagai sebuah "sekolah pentadbiran" yang membentuk pemikiran praktikal dan wawasan moden baginda.

Raja Laut dan Pergolakan Perang Klang (1867–1874)

Perang Klang yang meletus pada tahun 1867 merupakan titik perubahan besar dalam sejarah Selangor. Konflik yang pada asalnya berpunca daripada perebutan kuasa dan hasil ekonomi akhirnya berkembang menjadi perang saudara yang melibatkan hampir seluruh negeri.

Dalam konflik ini, Raja Laut memilih untuk menyertai gabungan Raja Mahadi yang menentang Tengku Kudin, wakil Sultan Abdul Samad yang mendapat sokongan British dan Kapitan Cina Kuala Lumpur, Yap Ah Loy. Sokongan ini lahir daripada ketidakpuasan hati sebahagian kerabat diraja terhadap pelantikan Tengku Kudin dari Kedah sebagai Wakil Yamtuan yang diberikan kuasa luas oleh Sultan Abdul Samad untuk mentadbir negeri.

Raja Laut bersama Raja Kahar dan Raja Mahmud memainkan peranan aktif dalam kempen ketenteraan yang berlangsung di sekitar Klang dan Kuala Lumpur. Dalam fasa kemuncak peperangan pada Ogos 1872, gabungan tentera Raja Mahadi berjaya mengepung Kuala Lumpur. Pasukan tersebut menekan pertahanan Kapitan Yap Ah Loy dan memutuskan laluan bekalan sehingga membolehkan mereka menguasai bandar itu buat sementara waktu. Namun keadaan berubah apabila tentera bantuan Pahang yang dihantar oleh Bendahara Wan Ahmad tiba di Selangor. Pasukan elit Pahang yang dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti Imam Perang Rasu (Tok Gajah), Dato’ Bahaman dan Tok Muda Haji Mustapha melancarkan serangan balas yang tersusun. 

Menjelang Mac 1873, kem Raja Mahadi mengalami kekalahan besar. Ketika ramai pemimpin perang memilih untuk melarikan diri, Raja Laut mengambil pendekatan berbeza. Baginda menyerah diri secara aman dan menerima pengampunan daripada Sultan Abdul Samad. Keputusan ini menjadi titik permulaan kepada fasa baharu dalam kehidupan politik baginda.

Membina Semula Kehidupan di Kuala Lumpur (1874–1885)

Selepas tamat perang, Kuala Lumpur berada dalam keadaan yang amat daif. Banyak kawasan musnah akibat peperangan dan kebakaran.Berbeza dengan beberapa pemimpin perang lain yang melarikan diri ke luar negeri, Raja Laut memilih untuk menyerah diri secara aman. Kedudukannya sebagai putera Sultan Muhammad Shah serta kerabat dekat Sultan Abdul Samad menyebabkan baginda diberikan pengampunan oleh pihak istana. Dalam suasana pemulihan inilah Raja Laut memilih untuk terus menetap di Kuala Lumpur dan membantu membangunkan semula masyarakat Melayu tempatan.

Tindakan baginda untuk kekal di ibu negeri yang sedang berkembang menunjukkan kebijaksanaan politik yang luar biasa. Daripada meneruskan permusuhan lama, Raja Laut menyesuaikan diri dengan sistem pentadbiran baharu yang sedang dibentuk oleh British dan istana Selangor.Keupayaan baginda beradaptasi menyebabkan kepercayaan terhadapnya kembali pulih. 

Kehidupan selepas Perang Klang bukanlah sesuatu yang mudah bagi Raja Laut. Pada 18 Disember 1877, baginda mengemukakan satu petisyen rasmi kepada kerajaan bagi mendapatkan pencen atau elaun tetap. Dokumen yang disimpan di Arkib Negara Malaysia dengan nombor rujukan 1957/0000584W menunjukkan bahawa cadangan tersebut turut mendapat perhatian Tengku Kudin yang mengesyorkan elaun sebanyak $75 sebulan untuk Raja Laut.

Permohonan ini mencerminkan perubahan besar yang sedang berlaku dalam sistem politik Selangor. Raja Laut, yang suatu ketika dahulu memperoleh pendapatan melalui struktur tradisional pemerintahan Melayu, kini terpaksa bergantung kepada elaun kerajaan yang dikawal oleh pentadbiran kolonial British. Ia juga menunjukkan bagaimana British menggunakan sistem pencen untuk mengintegrasikan golongan bangsawan Melayu ke dalam kerangka pemerintahan baharu. 

Pentadbir Melayu dalam Era Pemodenan Selangor (1881–1899)

Menjelang dekad 1880-an, Raja Laut mula memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran negeri. Sepanjang dua dekad terakhir abad ke-19, Raja Laut muncul sebagai salah seorang pembesar Melayu yang paling berpengaruh di Kuala Lumpur. Baginda menganggotai Majlis Mesyuarat Negeri Selangor, iaitu institusi tertinggi pentadbiran negeri yang diwujudkan selepas pelaksanaan sistem Residen British. Dalam kapasiti ini, Raja Laut terlibat dalam perbincangan dasar kerajaan, pembangunan bandar, pengurusan tanah dan pelbagai urusan pentadbiran negeri.

Selepas Perang Klang, Raja Laut memasuki satu lagi fasa pembelajaran yang lebih mencabar apabila terlibat secara langsung dalam sistem pentadbiran kolonial British. Sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri Selangor, penghulu, hakim tempatan dan pemimpin masyarakat Melayu Kuala Lumpur, baginda memperoleh kefahaman mendalam tentang birokrasi moden, pengurusan kewangan kerajaan, perundangan bertulis, sistem tanah, serta kaedah pentadbiran Barat. Pengetahuan ini tidak diperoleh melalui bilik darjah, sebaliknya melalui pengalaman harian dalam mengendalikan urusan negeri dan berinteraksi dengan pegawai British.

Oleh sebab itu, gelaran bahawa Raja Laut merupakan seorang tokoh yang "berpelajaran tinggi" perlu difahami dalam konteks zamannya. Ketinggian ilmu baginda bukan diukur melalui sijil atau pendidikan formal, tetapi melalui keluasan pengalaman, kecerdasan semula jadi, kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, serta keupayaan menggabungkan nilai tradisional Melayu dengan sistem pentadbiran moden. Dalam banyak aspek, Raja Laut mewakili generasi pembesar Melayu abad ke-19 yang berjaya menguasai dunia baharu tanpa pernah melalui sistem pendidikan Barat secara rasmi.

Pada tahun-tahun berikutnya, Raja Laut semakin menonjol dalam urusan pentadbiran negeri. Baginda berkhidmat sebagai penghulu masyarakat Melayu Kuala Lumpur, menjadi ahli Majlis Mesyuarat Negeri dari tahun 1881 hingga 1903, serta menjalankan tugas kehakiman sebagai majistret tempatan. Sikap sederhana dan kesediaannya bekerjasama dengan kerajaan menjadikan baginda kembali mendapat kepercayaan Sultan Abdul Samad dan pihak British.

Menjelang tahun 1881, kedudukan Raja Laut semakin stabil. Pada 7 September tahun tersebut, baginda memohon elaun perjalanan bagi menghadiri mesyuarat Majlis Mesyuarat Negeri Selangor. Rekod ini membuktikan bahawa Raja Laut telah menjadi anggota penting dalam pentadbiran negeri dan terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan kerajaan.

Selain itu, baginda turut diberikan tanggungjawab mentadbir kawasan mukim tertentu dan bertindak sebagai pemimpin masyarakat Melayu tempatan. Kedudukan ini menjadikan Raja Laut jambatan penting antara kerajaan kolonial, istana dan rakyat. Dokumen kerajaan pada tahun 1884 menunjukkan bahawa baginda memegang tanggungjawab langsung terhadap pengurusan mukim dan pentadbiran tempatan, sekali gus membuktikan bahawa Raja Laut bukan sekadar tokoh simbolik dalam hierarki diraja.

Pada 29 Oktober 1884, kerajaan mengarahkan Raja Laut kembali ke Selangor untuk mengambil alih pentadbiran mukim di bawah tanggungjawabnya. Dokumen ini memperlihatkan bahawa baginda memainkan peranan sebagai pentadbir wilayah dan bukan sekadar kerabat diraja tanpa fungsi rasmi.Sikap toleransi dan kepatuhan Raja Laut selepas Perang Klang membuatkan pihak British dan Sultan Abdul Samad kembali menaruh kepercayaan yang sangat tinggi kepada baginda. Baginda dilantik secara rasmi sebagai:

  • Penghulu Mukim Kuala Lumpur: Menjadi ketua masyarakat Melayu tempatan bagi menyatukan semula komuniti pasca-perang

  • Majistret / Hakim Mahkamah: Mengendalikan kes-kes sivil dan jenayah di Kuala Lumpur kerana kebijaksanaannya dalam soal undang-undang adat dan diplomatik

Pendidikan dan Kebajikan Masyarakat Melayu

Salah satu sumbangan penting Raja Laut ialah dalam bidang pendidikan Melayu. Ketika Kuala Lumpur berkembang sebagai pusat ekonomi baharu, baginda menyedari bahawa masyarakat Melayu memerlukan akses kepada pendidikan formal agar tidak tercicir daripada arus pembangunan. Atas kesedaran tersebut, Raja Laut memainkan peranan penting dalam penubuhan Sekolah Melayu Batu Road, yang dianggap antara sekolah Melayu terawal di Kuala Lumpur. Walaupun tidak menerima pendidikan Barat secara formal, Raja Laut memperlihatkan sikap yang terbuka terhadap ilmu pengetahuan. Baginda memahami bahawa pendidikan merupakan asas kepada kemajuan masyarakat Melayu dalam dunia yang semakin berubah.Komitmen terhadap pendidikan terbukti apabila anakandanya sendiri, Raja Alang, dihantar belajar di sekolah tersebut.

Pada tahun 1885 pula, Raja Laut memohon penggunaan sebidang tanah bagi tujuan wakaf untuk kegunaan masyarakat Islam. Usaha ini mencerminkan keprihatinan baginda terhadap pembangunan sosial dan keagamaan masyarakat setempat. Pada 20 Ogos 1885, dokumen 1957/0004468W merekodkan kelulusan daripada Residen British Selangor kepada Raja Laut berkenaan sebidang tanah kerajaan yang terletak di belakang sebuah sekolah Melayu di Kuala Lumpur. Tanah tersebut dicadangkan untuk dijadikan "Rumah Wakaf" — suatu harta kebajikan yang dihibahkan untuk kepentingan masyarakat Islam.

Konteks penting: Tanah yang dipohon terletak di belakang sebuah sekolah Melayu — kemungkinan besar Sekolah Melayu Pangkalan Batu, sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur yang ditubuhkan oleh Raja Laut sendiri. Dokumen ini merakamkan pengadaptasian konsep wakaf Islam dalam kerangka undang-undang tanah kolonial British. Tanah yang dipohon adalah tanah kerajaan British (government reserved ground), bukannya tanah milik peribadi Raja Laut. Oleh itu, statusnya bukan wakaf penuh, tetapi pajakan (lease) untuk tujuan wakaf.

Raja Laut dan Pembentukan Kuala Lumpur Moden

Kebangkitan semula Kuala Lumpur selepas Perang Klang memerlukan tokoh-tokoh yang mampu memahami kedua-dua dunia tradisional Melayu dan sistem pentadbiran moden British. Raja Laut merupakan salah seorang daripada tokoh tersebut. Pada tahun 1890, baginda terlibat dalam penubuhan Kuala Lumpur Sanitary Board, sebuah badan yang bertanggungjawab terhadap kebersihan, kesihatan awam dan pembangunan bandar. Institusi ini kemudiannya berkembang menjadi asas kepada pentadbiran bandar raya Kuala Lumpur moden. Penglibatan Raja Laut dalam badan tersebut memperlihatkan bagaimana seorang pembesar Melayu tradisional berjaya menyesuaikan diri dengan konsep pentadbiran bandar yang diperkenalkan oleh British. Gelaran "berpelajaran tinggi" yang diberikan kepada Raja Laut adalah pengiktirafan kepada kebolehan intelek natural, kecekapan pentadbiran, serta keupayaan baginda menguasai sistem birokrasi Barat melalui pengalaman kerjaya.

Keupayaan inilah yang akhirnya membolehkan baginda memainkan peranan penting dalam pembangunan Kuala Lumpur, pentadbiran Negeri Selangor, kebajikan masyarakat Melayu, serta usaha memperkukuhkan kedudukan orang Melayu dalam sebuah bandar yang sedang berkembang pesat di bawah pemerintahan kolonial. Raja Laut bukanlah produk sekolah Inggeris, tetapi hasil gabungan pendidikan istana, pengalaman pentadbiran Lukut, dan pembelajaran sepanjang hayat yang ditempa melalui pengalaman politik dan pentadbiran yang luas.

Pada tahun 1891, kerajaan negeri menghadiahkan sebuah jam tangan kepada Raja Muda Selangor, Raja Bot dan Raja Laut. Hadiah ini merupakan simbol penghormatan serta pengiktirafan terhadap kedudukan mereka sebagai elit politik negeri.

Pada tahun 1895, Raja Laut muncul dalam rekod berkaitan perlindungan tanah Orang Asli di kawasan Petaling. Baginda mengeluarkan surat kebenaran kepada komuniti Orang Asli Perual dan Lanjan untuk mengusahakan tanah serta melarang gangguan daripada orang Melayu dan Cina. 

Dalam masa yang sama, baginda turut memainkan peranan dalam pelbagai isu tanah dan komuniti. Salah satu contoh penting ialah penglibatan baginda dalam melindungi hak penggunaan tanah masyarakat Orang Asli di kawasan Petaling pada tahun 1895. Dokumen kolonial menunjukkan bahawa Raja Laut mengeluarkan surat yang mengiktiraf hak komuniti tersebut untuk mengusahakan tanah dan melindungi mereka daripada gangguan pihak luar.

Hubungan dengan Dunia Melayu-Riau

Pada tahun 1895, Raja Laut memperoleh kebenaran untuk melakukan perjalanan ke Riau. Perjalanan ini mempunyai makna yang lebih besar daripada sekadar lawatan biasa. Hubungan antara Selangor dan Riau-Lingga telah wujud sejak penubuhan Kesultanan Selangor pada abad ke-18. Sebagai kerabat yang mempunyai pertalian darah dengan keluarga diraja Riau, lawatan tersebut memperlihatkan kesinambungan hubungan budaya dan kekeluargaan yang merentasi sempadan kolonial British dan Belanda. Peristiwa ini juga mengingatkan bahawa dunia Melayu pada akhir abad ke-19 masih terhubung melalui jaringan kekeluargaan, perdagangan dan budaya walaupun telah dibahagikan oleh kuasa-kuasa kolonial Eropah.

Pelantikan sebagai Raja Muda Selangor (1899)

Kemuncak kerjaya politik Raja Laut berlaku pada tahun 1899 apabila baginda dilantik sebagai Raja Muda Selangor oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Pada 21 November 1899, Sultan Alauddin Sulaiman Shah melantik Raja Laut sebagai Raja Muda Selangor. Pelantikan ini dibuat kerana putera sulung Sultan, Tengku Musaeddin, masih terlalu muda untuk memegang jawatan tersebut. 

Walaupun pelantikan itu tidak mengubah susunan pewarisan takhta secara kekal, kedudukan Raja Laut sebagai Raja Muda menunjukkan tahap kepercayaan yang tinggi daripada Sultan dan kerajaan negeri.Pelantikan Raja Laut mempunyai nilai politik yang besar. Ia menghormati kedudukan baginda sebagai kerabat kanan yang berpengalaman serta membantu mengekalkan kestabilan pentadbiran negeri. Dokumen 1957/0089864W bertajuk "Allowance of Raja Laut as Raja Muda, as Provided for in the Estimates for 1900" (23 Januari 1900) merupakan pengesahan kewangan yang penting kerana ia merekodkan peruntukan elaun rasmi bagi jawatan Raja Muda Selangor untuk tahun 1900Fail ini membuktikan bahawa Raja Laut telah diiktiraf secara rasmi sebagai Raja Muda Selangor. Elaun baginda dimasukkan dalam anggaran perbelanjaan kerajaan (estimates) tahun 1900 dan Jawatan tersebut telah diluluskan secara pentadbiran dan diiktiraf dalam bajet negeri

Pada 22 Oktober 1903, Sultan Sulaiman secara rasmi mengurniakan gelaran Tunku Mahkota kepada putera sulungnya, Tengku Musaeddin, sekali gus mengesahkan pewaris mutlak takhta Selangor. Walaupun Tengku Musaeddin kemudiannya diisytiharkan sebagai Tunku Mahkota pada tahun 1903, Raja Laut dibenarkan mengekalkan gelaran Raja Muda sebagai penghormatan sehingga akhir hayat. Dalam istiadat pertabalan Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada 23 Oktober 1903, Raja Laut menduduki tempat kehormat sebagai Raja Muda Selangor sebagai tanda penghormatan terhadap jasa dan kedudukannya dalam negeri.

Raja Laut bergambar kenangan dengan Kapitan Cina KL,Yap Ah Loy
dan pegawai-pegawai Inggeris Selangor
Tandatangan Raja Laut dalam dokumen rasmi kerajaan Selangor dalam tahun 1885

Raja Laut dan Penubuhan Kampung Baru (1899–1902)

Antara legasi paling besar Raja Laut ialah penglibatannya dalam penubuhan Kampung Baru di Kuala Lumpur. Menjelang penghujung abad ke-19, pembangunan pesat bandar Kuala Lumpur menyebabkan masyarakat Melayu semakin terpinggir daripada pusat ekonomi bandar. Kebimbangan terhadap penguasaan ekonomi bandar oleh komuniti imigran dan pengambilan tanah penduduk asal oleh projek pembangunan kolonial mendorong baginda mengemukakan cadangan penubuhan kawasan penempatan Melayu yang terlindung. Raja Laut melihat keadaan ini sebagai ancaman jangka panjang kepada kedudukan orang Melayu di ibu negeri.

Cadangan tersebut mendapat sokongan Sultan Alauddin Sulaiman Shah dan Residen British J.A. Swettenham, meluluskan tanah seluas 224 ekar di Kuala Lumpur untuk dijadikan kawasan penempatan khas Melayu yang dinamakan Kampung Bahru Agricultural Settlement (kini Kampung Baru, Kuala Lumpur)..Pada tahun 1899, kawasan seluas kira-kira 224 ekar diluluskan untuk dijadikan Malay Agricultural Settlement atau Kampung Baru. Kawasan ini diwartakan secara rasmi pada tahun 1900. Kawasan ini diwartakan secara rasmi pada 12 Januari 1900. 


Status Perundangan Kampung Baru

Dari segi perundangan dan hakmilik tanah, Malay Agricultural Settlement ini berbeza dengan Tanah Rezab Melayu . Berikut adalah intipati perbezaan antara kedua-duanya:

AspekKampung Baru (MAS)Tanah Rizab Melayu
StatusKawasan Penempatan Pertanian MelayuTanah Rizab Melayu
Undang-undangSeksyen 6 Enakmen Tanah 1897Enakmen Rizab Melayu 1913
SekatanTanah tidak boleh dimiliki/dipindah milik/dihuni oleh bukan MelayuTanah tidak boleh dipindah milik kepada bukan Melayu

Sebagai Pengerusi, salah satu peranan utama Raja Laut adalah menjaga hak milik tanah Melayu dengan memastikan tanah di Kampung Baru hanya dimiliki, diduduki, dan diwarisi oleh orang Melayu Kuala Lumpur. Langkah tegas ini diambil bagi menyekat penguasaan ekonomi oleh pelombong asing dan pihak British yang ketika itu semakin giat membeli tanah di sekitar ibu kota. Baginda memahami bahawa tanah adalah aset paling berharga — jika orang Melayu kehilangan tanah di pusat bandar, mereka akan kehilangan suara dan pengaruh dalam arus pemodenan Kuala Lumpur. Oleh itu, setiap geran tanah yang dikeluarkan dikunci dengan sekatan kepentingan yang melarang pemindahan milik kepada bukan Melayu.

Dalam merancang struktur pertanian bandar, Raja Laut memperkenalkan satu konsep yang unik pada zamannya. Setiap keluarga yang berpindah ke Kampung Baru diberikan lot tanah untuk mendirikan rumah kayu tradisional di bahagian hadapan, manakala ruang di bahagian belakang lot diwajibkan untuk aktiviti bercucuk tanam seperti padi, sayur-sayuran, dan buah-buahan. Konsep "kediaman + pertanian" ini bukan sahaja memastikan penduduk mempunyai sumber makanan sendiri, tetapi juga memenuhi syarat penubuhan kawasan tersebut sebagai "Penempatan Pertanian" (Agricultural Settlement) di sisi undang-undang kolonial British — suatu taktik genius yang menyamarkan matlamat sebenar penubuhan kawasan rizab Melayu.

Raja Laut juga bertanggungjawab membina identiti komuniti dengan menyusun pembukaan kampung-kampung kecil di dalam penempatan tersebut mengikut tempat asal penduduk. Baginda sedar bahawa masyarakat Melayu Kuala Lumpur pada era itu terdiri daripada pelbagai sub-etnik — Jawa, Minangkabau, Mandailing, Bugis, Rawa, dan lain-lain. Dengan mewujudkan Kampung Paya untuk imigran Jawa, Kampung Masjid di zon tengah berdekatan rumah ibadat, dan Kampung Atas untuk keturunan Mandailing dan Minangkabau, Raja Laut berjaya mengekalkan keharmonian komuniti dan mengelakkan perselisihan faham antara kelompok yang berbeza asal-usul. Setiap kampung kecil ini menjadi satu keluarga besar yang saling bantu-membantu.

Akhirnya, Raja Laut turut bertindak sebagai penggerak penyediaan kemudahan asas dengan mendesak pihak British menyediakan akses jalan raya awal, sistem parit yang baik, dan tapak masjid (kini dikenali sebagai Masjid Jamek Kampung Baru). Baginda memahami bahawa sebuah penempatan yang sistematik memerlukan infrastruktur yang sempurna — jalan untuk perhubungan, parit untuk saliran air dan mencegah banjir, serta masjid sebagai pusat graviti kegiatan keagamaan dan sosial komuniti. Desakan baginda kepada Residen British Selangor membuahkan hasil apabila kemudahan-kemudahan asas ini mula dibina secara berperingkat, menjadikan Kampung Baru sebagai salah satu kawasan penempatan paling terancang di Kuala Lumpur pada awal abad ke-20.

Melalui keempat-empat peranan ini, Raja Laut telah berjaya mewujudkan sebuah kubu kuat politik, budaya, dan maruah orang Melayu di tengah-tengah ibu kota moden yang kekal utuh sehingga ke hari ini. Kampung Baru bukan sekadar himpunan rumah kayu di atas lot tanah suku ekar — ia adalah monumen hidup kepada kegigihan dan kebijaksanaan seorang negarawan yang bernama Raja Laut. Setiap lorong kecil, setiap pokok buah yang masih tumbuh di halaman rumah, dan setiap doa yang dipanjatkan di Masjid Jamek Kampung Baru adalah bukti bahawa visi baginda pada tahun 1902 tetap relevan dan terus memberi nafas kepada komuniti Melayu Kuala Lumpur, lebih daripada satu abad selepas penubuhannya.

Dari segi kemudahan awam, pentadbiran Kampung Baru sentiasa berusaha mendapatkan sokongan kerajaan bagi menyediakan jalan raya, sistem perparitan dan kemudahan keagamaan. Keperluan ini menjadi semakin penting apabila jumlah penduduk bertambah dari tahun ke tahun. Walaupun pembangunan fizikal kawasan tersebut tidak setanding dengan pusat bandar kolonial, usaha menyediakan kemudahan asas menunjukkan bahawa Kampung Baru tidak diwujudkan sebagai kawasan pinggiran semata-mata, tetapi sebagai sebuah komuniti Melayu yang mempunyai struktur pentadbiran tersendiri.

Pembentukan Kampung-Kampung Tradisi

Sejak awal penubuhannya, Kampung Baru berkembang melalui beberapa petempatan kecil yang kemudiannya membentuk identiti kawasan tersebut. Nama-nama kampung yang muncul lazimnya berkait rapat dengan keadaan geografi, tumbuhan tempatan, kegiatan ekonomi atau kemudahan yang terdapat di kawasan berkenaan.

Antara kampung yang terkenal ialah Kampung Sukun yang dipercayai mendapat namanya daripada banyaknya pokok sukun yang tumbuh di kawasan tersebut. Kampung Masjid pula berkembang di sekitar kawasan masjid yang menjadi pusat kehidupan sosial dan keagamaan masyarakat setempat. Kampung Paya merujuk kepada keadaan asal tanah yang berpaya sebelum dibangunkan sebagai kawasan penempatan.

Terdapat juga Kampung Periuk yang dikaitkan dengan kehidupan ekonomi penduduk, Kampung Atas yang terletak di kawasan lebih tinggi, serta Kampung Hujung Pasir yang berada berhampiran kawasan tebing sungai yang berpasir. Selain itu, terdapat kawasan yang dikenali sebagai Kampung Baru Jalan Pasar yang berkembang berhampiran kawasan perdagangan dan pasar awal Kuala Lumpur. Kesemua petempatan ini membentuk jaringan komuniti yang akhirnya melahirkan identiti unik Kampung Baru sebagai pusat masyarakat Melayu bandar.

Susun Atur Awal dan Corak Penempatan

Pelan asal Kampung Baru menunjukkan bahawa kawasan tersebut dibangunkan secara lebih teratur berbanding kebanyakan kampung tradisional Melayu yang lain. Pentadbiran kolonial menggunakan pendekatan perancangan yang sistematik dengan pembahagian lot yang jelas dan jaringan jalan yang tersusun. Setiap keluarga lazimnya menerima sebidang tanah yang membolehkan mereka membina rumah di bahagian hadapan dan mengusahakan kawasan pertanian di bahagian belakang.

Susun atur seperti ini mewujudkan keseimbangan antara kehidupan kampung dan keperluan ekonomi. Rumah-rumah dibina menghadap jalan dengan halaman yang luas, manakala ruang di antara lot memberi pengudaraan yang baik serta mengurangkan kesesakan. Walaupun istilah "perancangan bandar" belum digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat tempatan ketika itu, reka bentuk Kampung Baru memperlihatkan unsur-unsur perancangan moden yang disesuaikan dengan cara hidup Melayu.

Pada masa yang sama, pembentukan petempatan turut dipengaruhi oleh latar belakang komuniti yang berhijrah ke Kuala Lumpur. Sebahagian kawasan dihuni oleh kelompok Jawa, manakala kawasan lain menjadi tumpuan masyarakat Mandailing, Minangkabau dan pelbagai kelompok Melayu lain. Kepelbagaian ini menyumbang kepada pembentukan identiti sosial Kampung Baru yang kaya dengan tradisi dan budaya Melayu Nusantara.

Kerjasama antara Istana dan Pentadbiran British

Penubuhan Kampung Baru tidak boleh dilihat sebagai usaha pihak istana sahaja ataupun projek kolonial semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan hasil kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menghadapi cabaran sosial yang muncul akibat perkembangan pesat Kuala Lumpur.

Pihak istana Selangor memberikan sokongan politik dan moral terhadap usaha melindungi kepentingan masyarakat Melayu. Sultan Alauddin Sulaiman Shah menyokong pewujudan kawasan penempatan khas tersebut sebagai satu langkah menjaga masa depan rakyat Melayu di ibu negeri. Raja Laut pula bertindak sebagai penghubung antara kepentingan masyarakat Melayu dengan struktur pentadbiran moden yang diperkenalkan oleh British.

Di pihak kolonial, Residen British meluluskan pewartaan kawasan tersebut di bawah peruntukan undang-undang tanah yang sedia ada. Pentadbiran kolonial juga membantu menyediakan infrastruktur asas seperti pembersihan kawasan paya, pembinaan sistem perparitan dan penyediaan rangkaian jalan yang diperlukan untuk membangunkan penempatan baharu itu. Oleh sebab itu, Kampung Baru sebenarnya lahir daripada gabungan kepentingan Melayu dan kolonial yang bertemu pada satu titik yang sama, iaitu memastikan kestabilan sosial Kuala Lumpur.

Kedudukan Kampung Baru dalam Perancangan Kuala Lumpur

Walaupun terletak berhampiran pusat bandar, Kampung Baru mempunyai kedudukan yang unik dalam sejarah pembangunan Kuala Lumpur. Kawasan ini tidak dibangunkan sebagai pusat komersial seperti kawasan di sekitar Jalan Raja, Market Square atau Batu Road. Sebaliknya, Kampung Baru diwujudkan sebagai kawasan perlindungan masyarakat Melayu yang mengekalkan unsur pertanian dan kehidupan kampung di tengah-tengah proses pembandaran yang pesat.

Keadaan ini menyebabkan Kampung Baru berkembang sebagai sebuah entiti yang agak berasingan daripada kawasan bandar kolonial. Ia mempunyai fungsi yang berbeza, struktur sosial yang tersendiri dan matlamat yang lebih tertumpu kepada perlindungan pemilikan tanah Melayu berbanding pembangunan komersial. Oleh sebab itulah Kampung Baru muncul sebagai satu fenomena unik dalam sejarah Kuala Lumpur — sebuah kampung Melayu tradisional yang terus bertahan di tengah-tengah perkembangan sebuah metropolis moden.

Dalam perkembangan tersebut, Raja Laut dikenang sebagai antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu bandar. Melalui penglibatan baginda dalam pentadbiran Kampung Baru, usaha melindungi tanah Melayu dan pembangunan komuniti setempat, Raja Laut telah meninggalkan satu legasi yang terus mempengaruhi sejarah dan identiti Kampung Baru hingga ke hari ini.

Tahun-Tahun Akhir dan Kemangkatan (1903–1913)

Selepas tahun 1903, Raja Laut terus dihormati sebagai salah seorang pembesar kanan Selangor. Walaupun usia semakin meningkat, baginda masih terlibat dalam pelbagai urusan masyarakat dan pentadbiran. Pada 9 Jun 1913, Raja Laut mangkat di Kampung Gonggang (kini kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman / Chow Kit), Kuala Lumpur. Punca kematian direkodkan sebagai penyakit diabetes.

Laporan akhbar kolonial utama termasuk Pinang Gazette and Straits Chronicle, Straits Echo, dan Straits Times pada 9–10 Jun 1913 melaporkan kematian baginda. Dalam laporan-laporan awal, baginda turut dirujuk dengan gelaran "Raja Muda of Selangor" , dan digambarkan sebagai seorang kerabat yang pernah berada dalam kedudukan tinggi dalam hierarki istana Selangor.

Pejabat High Commissioner of the Federated Malay States merekodkan laporan rasmi berhubung kematian baginda pada 10 Jun 1913 untuk tujuan pengesahan dan rekod rasmi dalam pentadbiran kolonial di peringkat PersekutuanAkhbar-akhbar kolonial melaporkan pemergian baginda sebagai kehilangan besar kepada masyarakat Melayu Selangor. Dalam laporan tersebut, baginda masih dirujuk sebagai Raja Muda Selangor, membuktikan bahawa gelaran itu terus dikekalkan sehingga akhir hayat. Baginda kemudian dimakamkan di kawasan perkuburan Melayu berhampiran Ampang Road, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1913, Pejabat High Commissioner of the Federated Malay States merekodkan cadangan rasmi berkaitan pemberian pencen kepada balu Raja Laut. Dokumen tersebut menyatakan bahawa seorang balu kepada Raja Laut akan menerima pencen sebanyak $360 setahun sebagai bentuk sokongan kewangan daripada pihak kerajaan. Rekod ini turut menyebut Raja Laut sebagai "late Raja Muda of Selangor" .

Makam Raja Laut di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di Kuala Lumpur

MENCARI JEJAK ANAK-ANAK RAJA LAUT

Apabila D.Y.T.M. Raja Muda Laut ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah mangkat pada 9 Jun 1913 di Kampung Gonggang, Kuala Lumpur, baginda meninggalkan lebih daripada sekadar legasi jalan raya dan penempatan Melayu di ibu kota. Baginda meninggalkan sebuah keluarga — isteri, Raja Daing Chahaya, dan beberapa orang putera yang terus mengharungi arus perubahan zaman di bawah naungan kerajaan negeri Selangor.

Namun, siapakah sebenarnya anak-anak Raja Laut? Selama ini, beberapa penulisan moden menyebut Raja Alang sebagai "satu-satunya anak lelaki" baginda. Namun, apabila kita menyusuri rekod-rekod usang di Arkib Negara Malaysia, satu gambaran yang berbeza dan lebih lengkap mula terbentuk.

Berdasarkan dokumen-dokumen yang telah ditemui setakat ini, sekurang-kurangnya dua orang putera dan seorang puteri Raja Laut dapat dikenal pasti melalui rekod rasmi pentadbiran kolonial British. Setiap seorang daripada mereka meninggalkan jejak yang berbeza dalam sejarah, mencerminkan nasib dan peluang yang tidak sama dalam keluarga yang sama.

1. Raja Husain bin Raja Laut: Yang Terpencil di Beranang

Raja Husain merupakan salah seorang putera kepada Raja Laut ibni al-Marhum Sultan Muhammad Shah. Beliau adalah abang kepada Raja Alang bin Raja Muda Laut dan merupakan anggota cabang keluarga Raja Laut yang berasal daripada keturunan Sultan Muhammad Shah.

Walau bagaimanapun, tidak seperti bapanya yang memegang jawatan penting sebagai Penghulu dan Majistret Kuala Lumpur serta Ahli Majlis Negeri Selangor, sumber yang ada tidak banyak merekodkan penglibatan Raja Husain dalam pentadbiran negeri atau urusan politik Selangor. Namanya lazimnya muncul dalam rekod salasilah keluarga Raja Laut dan bukannya dalam laporan rasmi kerajaan atau akhbar kolonial.

Ketiadaan maklumat yang luas mengenai Raja Husain berbeza dengan tokoh-tokoh sezamannya seperti Raja Bot, Raja Mahmud atau bapanya sendiri, Raja Laut, yang kerap disebut dalam dokumen pentadbiran British. Ini menunjukkan bahawa Raja Husain mungkin tidak memegang jawatan awam yang menonjol atau rekod mengenainya masih belum ditemui dalam sumber arkib yang diketahui setakat ini.

Dari sudut sejarah keluarga, kewujudan Raja Husain penting kerana beliau merupakan salah seorang pewaris keturunan langsung Raja Laut, iaitu seorang tokoh yang pernah menjadi Raja Muda Selangor dan pewaris takhta negeri sebelum penyusunan semula pewarisan diraja pada tahun 1903. Oleh itu, Raja Husain merupakan sebahagian daripada cabang keturunan diraja Selangor yang berasal daripada Sultan Muhammad Shah melalui puterinya, Raja Asiah.

Jejak Raja Husin pertama kali muncul dalam rekod arkib pada tahun 1883, ketika beliau dilaporkan menetap di Beranang — sebuah kawasan pedalaman di sempadan Selangor-Negeri Sembilan. Jauh daripada hiruk-pikuk pusat bandar Kuala Lumpur, beliau memilih untuk membina kehidupan di wilayah yang masih asli dan sunyi.

Dua tahun kemudian, pada 14 Januari 1885, Raja Husin mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan bantuan kewangan sebanyak $600. Namun, permohonannya tidak berjaya. Pegawai Kolektor Daerah Hulu Langat melaporkan bahawa Raja Husin "tidak membangunkan kawasan Beranang dengan memuaskan" — satu penilaian yang kemudiannya "diambil maklum oleh Residen British" .

Penolakan ini membawa mesej yang jelas: dalam sistem pentadbiran kolonial yang semakin ketat, seorang kerabat diraja tidak lagi layak menerima bantuan semata-mata kerana status kelahirannya. Beliau dinilai berdasarkan prestasi dan sumbangan nyata kepada pembangunan kawasan di bawah pengaruhnya. Era kuasa automatik bagi kerabat Melayu telah berakhir. Selepas tahun 1885, rekod mengenai Raja Husin menjadi sunyi. Tiada dokumen lanjut yang ditemui setakat ini mengenai perjalanan hidupnya selepas peristiwa tersebut.

2. Raja Ngah bin Raja Laut: Penerima Elaun Kasual

Raja Ngah merupakan puteri kepada Raja Laut ibni al-Marhum Sultan Muhammad Shah, seorang kerabat kanan Selangor yang pernah dilantik sebagai Raja Muda dan menjadi antara pentadbir terpenting Kuala Lumpur pada penghujung abad ke-19. Melalui bapanya, Raja Ngah adalah cicit kepada Sultan Muhammad Shah dan tergolong dalam kalangan kerabat diraja Selangor yang mempunyai kedudukan tinggi dalam hierarki istana.

Menurut rekod salasilah, Raja Ngah telah berkahwin dengan Raja Ja'afar. Perkahwinan seperti ini lazim berlaku dalam kalangan keluarga diraja Melayu pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, bertujuan mengekalkan hubungan antara cabang-cabang utama keturunan pemerintah serta memperkukuhkan kedudukan politik dan sosial keluarga diraja.

Perkahwinan Raja Ngah dan Raja Ja'afar juga menunjukkan bagaimana jaringan kekeluargaan diraja Selangor dibentuk melalui ikatan perkahwinan sesama kerabat. Hubungan sedemikian membantu mengekalkan perpaduan dalam keluarga pemerintah serta memastikan kesinambungan pengaruh golongan bangsawan dalam pentadbiran negeri.

Walaupun rekod kolonial dan akhbar pada zaman tersebut lebih banyak menumpukan perhatian kepada tokoh lelaki yang memegang jawatan rasmi, peranan wanita diraja seperti Raja Ngah tidak harus dipandang kecil. Mereka sering menjadi penghubung antara cabang-cabang keluarga diraja, penjaga tradisi istana, dan tokoh yang memainkan peranan penting dalam pembentukan rangkaian sosial golongan aristokrat Melayu.

Dari sudut salasilah, Raja Ngah merupakan penghubung penting kepada keturunan Raja Laut. Melalui perkahwinannya dengan Raja Ja'afar, zuriat yang lahir daripada perkahwinan tersebut berpotensi menggabungkan dua cabang keturunan diraja Selangor, sekali gus memperluaskan rangkaian kekeluargaan dalam kalangan kerabat negeri.

Namun demikian, identiti sebenar Raja Ja'afar perlu dikenal pasti dengan lebih lanjut melalui sumber arkib, daftar salasilah keluarga diraja Selangor atau rekod istana. Nama "Raja Ja'afar" bukanlah nama yang unik dalam sejarah Selangor, dan terdapat beberapa individu kerabat yang menggunakan nama tersebut pada tempoh yang berbeza. Penentuan identitinya penting untuk memahami kedudukan perkahwinan ini dalam konteks politik dan salasilah keluarga diraja Selangor secara lebih tepat.. 

Berbeza dengan abangnya yang terpencil di pedalaman, Raja Ngah muncul dalam rekod arkib pada tahun 1898 — tahun yang sama ketika ayahandanya menerima bantuan kewangan kerajaan dan setahun sebelum dilantik sebagai Raja Muda Selangor.

Pada 25 November 1898, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merekodkan bahawa Raja Ngah diluluskan untuk menerima elaun kasual (casual allowance) sebanyak $25. Jumlah ini sederhana jika dibandingkan dengan urusan kewangan ayahandanya, tetapi ia membawa makna yang besar: ia menunjukkan bahawa Raja Ngah berada dalam lingkungan sokongan rasmi kerajaan terhadap keluarga kerabat diraja.

Elaun kasual sebegini lazimnya diberikan kepada individu yang belum memegang jawatan tetap tetapi masih diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem istana dan pentadbiran. Mungkin Raja Ngah masih muda ketika itu. Mungkin beliau sedang dalam latihan atau menunggu peluang untuk memulakan kerjaya. Apa yang pasti, namanya terukir dalam rekod rasmi sebagai seorang putera yang diingati dan dibantu oleh kerajaan negeri.

Selepas tahun 1898, jejak Raja Ngah tidak lagi ditemui dalam rekod arkib setakat ini. Namun, kewujudannya sebagai seorang putera Raja Laut tidak dapat dinafikan.

3. Raja Alang bin Raja Laut: Yang Paling Mencatat Sejarah

Raja Alang adalah anak Raja Laut yang paling banyak muncul dalam rekod arkib, dan inilah yang menyebabkan ramai sejarawan terdahulu menganggapnya sebagai satu-satunya anak lelaki baginda. Namun, pandangan itu kini perlu diperbetulkan.

Raja Alang diputerakan sekitar tahun 1860-an, hasil perkahwinan Raja Laut (putera kedua Sultan Selangor ke-3, Sultan Muhammad Shah) dengan Raja Daing Chahaya. Keluarga diraja ini mendiami sebuah rumah di kawasan "Batu Road" (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman), jauh daripada kemewahan istana besar. Raja Muda Laut adalah pelopor kepada pendidikan awal anak-anak Melayu di Kuala Lumpur. Beliau bertanggungjawab menubuhkan Sekolah Melayu Vernakular yang pertama di Kuala Lumpur (terletak di tapak berhampiran Jalan Jawa / Jalan Tun Perak).

Untuk membuktikan kepada masyarakat Melayu ketika itu bahawa pendidikan moden adalah selamat dan penting, Raja Muda Laut telah menghantar putera tunggalnya sendiri, iaitu Raja Alang, sebagai salah seorang murid perintis pertama di sekolah tersebut. Langkah ini berjaya menarik minat orang Melayu lain untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Ayahandanya, Raja Muda Laut, merupakan tokoh korporat dan pentadbir Melayu yang paling berpengaruh di Kuala Lumpur pada akhir abad ke-19. Beliau merupakan pengasas Kuala Lumpur Sanitary Board (Lembaga Kebersihan Kuala Lumpur) pada tahun 1890 dan Penghulu Mukim Kuala Lumpur.

Selepas menamatkan pendidikan asas, rekod salasilah diraja (Royal Ark) mengesahkan bahawa Raja Alang melanjutkan pelajaran di Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur—sebuah sekolah elit Inggeris terkemuka yang ditubuhkan pada tahun 1893. Pendedahan di VI membolehkan beliau menguasai bahasa Inggeris dengan fasih dan memahami struktur pentadbiran Barat.

Raja Alang bin Raja Muda Laut, murid perintis sekolah Melayu pertama dan pelajar Victoria Institution, meneruskan warisan bapanya sebagai pentadbir tempatan. Kisah Raja Alang bin Raja Muda Laut ini memaparkan contoh terbaik bagaimana elit diraja Selangor pada zaman itu mula menerima arus pemodenan melalui pendidikan, dan bagaimana seorang ayah (Raja Muda Laut) menggunakan anaknya sendiri (Raja Alang) sebagai model contoh (role model) bagi transformasi pendidikan masyarakat Melayu.

Setelah tamat pengajian, Raja Alang tidak sekadar duduk di istana. Beliau memanfaatkan pendidikan modennya untuk masuk ke dalam sistem birokrasi dan pentadbiran Selangor (mengikuti jejak langkah bapanya). Beliau berkhidmat sebagai pegawai tadbir tempatan, menguruskan portfolio hal ehwal masyarakat, dan mengekalkan pengaruh elit diraja dalam pembangunan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya pada awal abad ke-20.

Tahun 1897 mencatatkan permulaan kerjaya Raja Alang. Pada usia muda, beliau dilantik sebagai Apprentice Demarcator — seorang pelatih dalam kerja-kerja ukur sempadan tanah — dengan elaun sebanyak $5 sebulan. Jumlahnya kecil, tetapi kedudukannya penting. Kerja ukur tanah pada era kolonial adalah antara tugas teknikal yang paling kritikal, dan pengalaman ini mungkin membuka jalannya kepada perkhidmatan awam yang lebih tinggi.

Selepas kemangkatan ayahandanya pada tahun 1913, nama Raja Alang terus muncul dalam rekod kerajaan. Pada 25 Januari 1924, beliau direkodkan sebagai Penerima Pencen Politik (Political Pensioner) — satu status yang menunjukkan bahawa kerajaan negeri masih mengiktiraf keturunan Raja Laut sebagai sebahagian daripada golongan aristokrat yang layak menerima sokongan kewangan. Pada tahun yang sama, beliau juga terlibat dalam urusan pinjaman sebanyak $500.

Empat tahun kemudian, pada 15 Jun 1928, Raja Alang mengambil langkah untuk memperbaiki keadaannya dengan memohon kenaikan pencen kepada kerajaan negeri. Dalam permohonannya, beliau menggunakan gelaran "Raja Alang bin Almarhum Raja Laut" , dengan jelas menyatakan identitinya sebagai waris kepada bekas Raja Muda Selangor. Tindakan ini membuktikan bahawa hampir lima belas tahun selepas kemangkatan ayahandanya, keluarga Raja Laut masih hidup dalam ingatan pentadbiran negeri, dan masih berada dalam lingkungan sistem kebajikan yang diwarisi dari era kolonial.

Antara Fakta dan Kekeliruan: Mengapa "Satu-satunya Anak" Itu Tidak Tepat?

Mengapakah selama ini ramai yang menganggap Raja Alang sebagai satu-satunya anak lelaki Raja Laut?Jawapannya mungkin terletak pada keterbatasan sumber yang tersedia kepada penulis-penulis terdahulu. Rekod arkib tentang Raja Husin dan Raja Ngah mungkin tidak pernah dirujuk, atau mungkin dokumen-dokumen tersebut masih belum ditemui ketika penulisan sejarah awal dibuat. Raja Alang, yang hidup lebih lama dan lebih aktif dalam urusan pencen dan pinjaman, secara semula jadi lebih menonjol dalam rekod.

Namun, dengan penemuan dokumen-dokumen seperti:

  • 1957/0002599W (mengenai Raja Husin, 1883)

  • 1957/0003901W (mengenai permohonan Raja Husin, 1885)

  • 1957/0083177W (mengenai elaun Raja Ngah, 1898)

kita kini dapat membetulkan catatan sejarah. Sekurang-kurangnya tiga orang putera telah dikenal pasti. Mungkin masih ada lagi — mungkin anak-anak perempuan yang jarang disebut dalam dokumen pentadbiran kolonial — yang menanti untuk ditemui dalam lipatan-lipatan kertas usang di Arkib Negara.

Legasi Sejarah Raja Laut

Raja Laut merupakan contoh unik seorang kerabat diraja yang melalui tiga zaman berbeza dalam sejarah Selangor: era kesultanan tradisional, era perang saudara, dan era pentadbiran kolonial moden. Baginda pernah menjadi panglima dalam Perang Klang, namun kegagalan dalam peperangan tidak menamatkan peranannya dalam sejarah. Sebaliknya, Raja Laut berjaya mengubah dirinya menjadi seorang pentadbir, pendidik, pemimpin masyarakat dan tokoh pembangunan bandar. Sumbangan baginda dapat dilihat melalui pembangunan Kuala Lumpur, kemajuan pendidikan Melayu, perlindungan hak masyarakat tempatan serta penubuhan Kampung Baru yang kekal menjadi simbol identiti Melayu di tengah-tengah ibu negara hingga hari ini. 

Sebagai penghormatan kepada jasa tersebut, nama baginda diabadikan pada Jalan Raja Laut, salah satu jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur. Nama itu bukan sekadar penanda geografi, tetapi peringatan kepada seorang tokoh yang memainkan peranan penting dalam peralihan Selangor daripada negeri yang bergolak akibat perang kepada sebuah negeri moden yang sedang berkembang memasuki abad ke-20. Alfatihah buat roh Almarhum Raja Laut ibni Sultan Muhammad. Wallahualam.

Nama Raja Laut diabadikan pada nama sebatang jalan raya di Kuala Lumpur



Kapal LCS kedua TUDM diberi nama  KD Raja Laut

BIBLIOGRAFI

Sumber Arkib (Arkib Negara Malaysia):

  • 1957/0000584W – Petisyen pencen Raja Laut (18 Disember 1877)

  • 1957/0001521W – Allowance to Members of the State Council for Travelling Expenses (7 September 1881)

  • 1957/0002790W – Payments to Rajahs – Laut, Sleman, Mas and Datoh Sati (25 Disember 1883)

  • 1957/0002599W – Enclosing $33 in Repayment of His Debts (29 September 1883)

  • 1957/0003742W – Letter Informing Raja Laut That He Must Come Back to Selangor Soon (29 Oktober 1884)

  • 1957/0003901W – Enclosing a Letter from Raja Hussein for a Loan of $600 (14 Januari 1885)

  • 1957/0004468W – Permohonan tanah wakaf oleh Raja Laut (20 Ogos 1885)

  • 1957/0006488W – Re Advance of $100 to Raja Laut (23 November 1886)

  • 1957/0010155W – Re Survey of a Small Plot of Land Next Raja Bot for Raja Laut (1 Februari 1888)

  • 1957/0027018W – Re a Loan of $500 Asked for by Raja Laut (5 September 1891)

  • 1957/0031049W – Forwards Present of a Watch Each to the Raja Muda & Raja Bot & Raja Laut from Govt. (30 Mac 1891)

  • 1957/0056575W – Asks for Instructions Regarding Two Documents Issued by Raja Laut to Sakies of Perual and Lanjan (29 Mei 1895)

  • 1957/0057514W – 'Raja Laut' – Leave to Proceed to Rhio (25 Julai 1895)

  • 1957/0062339W – Debt Due to Him by Raja Laut (11 Februari 1896)

  • 1957/0079535W – Granted $450 Loan to Raja Laut (31 Oktober 1898)

  • 1957/0085776W – Advance of $3000.00 to Raja Laut to Build a House (23 Ogos 1899)

  • 1957/0088090W – Advance of $750 to Raja Laut from Selangor (6 Mac 1899)

  • 1957/0089864W – Allowance of Raja Laut as Raja Muda, as Provided for in the Estimates for 1900 (23 Januari 1900)

Sumber Akhbar Kolonial:

  • Pinang Gazette and Straits Chronicle (12 April 1916) – Kematian Raja Haji Mohamed Salleh

  • Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (13 April 1916) – Kematian Raja Haji Mohamed Jafri

  • Straits Echo (19 April 1916) – "The most important member of the local Malay aristocracy"

  • Straits Echo (8 Januari 1904) – Upacara Pertabalan Sultan Alauddin Sulaiman Shah

  • Malaya Tribune (1 November 1930) – Pelantikan Raja Musa dan Raja Uda sebagai ADC Kehormat

  • Pinang Gazette and Straits Chronicle (10 Mac 1938) – Raja Musa sebagai hakim Melayu pertama

  • Malaya Tribune (17 Mac 1916) – Raja Musa sebagai Malay Settlement Officer

  • Straits Budget (12 Januari 1939) – Mr. Justice Raja Musa bercuti ke Eropah

  • Syonan Shimbun (24 Disember 1943) – Kematian Raja Musa

Sumber Rujukan Tambahan:

  • Astro Awani (6 Oktober 2020) – "Siapa Raja Laut? Ini penjelasan pejabat Sultan Selangor"

  • Wikipedia Bahasa Melayu – "Raja Laut"

  • Wikipedia Bahasa Melayu – "Raja Bot bin Raja Jumaat"

  • The Patriots Asia (14 Jun 2017) – "Pernah Dengar Nama Raja Bot? Raja Laut? Abdullah Hukum?"

  • Sahih.com.my – "Asal Raja Laut (1850–1913)"

  • Majlis Dato'-Dato' Lembaga SU – "Macam mana Hulu Langat dan Lukut bertukar tangan?"

  • Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) – Latar Belakang Kampong Bharu

  • UTM Virtual Gallery – "Kampung Bahru – Di Sini Awal Segalanya Bermula"

Entri Hari Ini

Sejarah Majlis Bandaraya Diraja Klang: Pemulihan Imej dan Maruah Klang

Salam buat semua. Dulu, kalau atok sebut "Klang," yang terbayang bukan sekadar bandar, tapi satu aura. Satu aura kebanggaan. Klang...